Saturday, 28 May 2011

Sifat Yang Menghapuskan Sifat Mahmudahku

Pernah tak kita lihat dalam masyarakat kita budaya santau-menyantau,   fitnah-memfitnah, berburuk sangka, saling menjatuhkan antara satu sama   lain dan pelbagai lagi budaya yang sama waktu dengannya?
Rasanya  perkara seperti ini sudah tidak perlu dipersoalkan kerana ia  merupakan perkara  yang sering terjadi dikalangan masyarakat kita.  Semua perkara ini  terjadi hasil daripada suatu sifat atau penyakit hati  yang dipanggil  hasad dengki. Apa makna hasad dengki ini? Saya pinjam  makna hasad dengki  ini dari sebuah buku yang mana buku itu menyebut :
Hasad adalah satu perkataan yang diambil dari perkataan bahasa arab  yang  membawa erti dengki. Ramai orang yang menyamakan iri hati dan  dengki.  Padahal kedua-dua perkara ini berbeza. Iri ertinya cemburu  melihat  nikmat atau kelebihan yang diperoleh orang lain dan dia ingin  seandainya  dialah yang mendapatkan nikmat itu dan bukan orang lain.  Sedangkan  dengki pula adalah benci melihat nikmat yang diterima orang  lain dan  berusahasupaya nikmat itu hilang.
Natijah dari sifat dengki ini sekiranya tidak dibendung akan   mendatangkan pelbagai kesan negatif sama ada kepada orang yang dengki   itu ataupun mangsa orang dengki itu. Antaranya ialah apa yang saya telah   disebutkan di awal tadi. Dan antara kesan yang dipetik dari al-Quran   ialah
Sombong
Gara-gara dengki dengan nabi Adam menyebabkan iblis menjadi sombong   sehingga menggagalkan dirinya untuk menuruti perintah Allah agar   bersujud kepada nabi Adam sebagai penghormatan. Akibat dari   kesombongannya itu maka saat itu terlucutlah segala kenikmatan yang   dikecapi selama berada di dalam syurga dan tika itu juga iblis menjadi   makhluk yang dilaknati oleh Allah dan diusir dari syurga. Firman Allah   yang bermaksud
"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk  rupa  kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah  kamu  kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah  termasuk  dalam golongan yang sujud.
Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang  menyekatmu daripada  sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku  lebih baik daripada  Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api  sedang dia Engkau  jadikan dari tanah.
"Allah berfirman: "Turunlah  engkau dari Syurga ini, kerana tidak  patut engkau berlaku sombong di  dalamnya; oleh sebab itu keluarlah,  sesungguhnya engkau dari golongan  yang hina".
Dendam
(Ramai di antara mereka berkata): " Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia  ke  suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu   tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi   orang-orang yang baik dan berguna".
Ini antara kalimat yang diucapkan  oleh salah seorang saudara nabi  Yusuf dek kerana dengki kerana nabi  Yusuf lebih disayangi dan dicintai  oleh bapa mereka Nabi Yaakub dari  diri mereka sendiri. Dari sifat  dengki itu maka timbullah rasa dendam  terhadap nabi Yusuf sehingga  mereka berpakat untuk melakukan perkara  yang tidak baik terhadap nabi  Yusuf. Kisah ini tercatat dalam surah  Yusuf.
(Kisah itu bermula) ketika saudara-saudara Yusuf berkata (sesama   sendiri): "Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa   kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan   berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang   nyata." (Ramai di antara mereka berkata):
"Bunuhlah Yusuf atau  buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya  perhatian dan kasih  sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata,  dan supaya kamu  sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna".
Salah seorang  di antara mereka berkata: "Janganlah kamu membunuh  Yusuf, tetapi  buanglah dia ke dalam pergi, supaya ia dipungut oleh  sebahagian dari  orang-orang musafir (yang lalu di situ), kalaulah kamu  tetap hendak  menjalankan rancangan kamu itu".
Ini antara perkara yang akan berlaku sekiranya kita terus membiarkan   perasaan dengki itu menyubur dalam diri kita. Dan banyak lagi   perkara-perkara yang tidak baik akan berlaku hasil dari sifat dengki.   Oleh itu, jangan kita biarkan sifat dengki ini tumbuh segar dalam diri.
Andainya perasaan itu terbit maka removelah ia secepatnya dengan cara   kita redho dengan setiap ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah   kepada setiap makhluk-Nya. Sekiranya terbit juga perasaan dengki itu   bermakna kita tidak redho denga apa yang telah ditetapkan oleh Allah.   Adakah kita layak untuk melakukan sedemikian rupa itu terhadap tuhan   yang Maha Agung?
Dan ingatlah dengan sabda Nabi yang bermaksud :
"Sesungguhnya hasad dan dengki itu akan memakan amal-amal baik sebagaimana api memakan (menghanguskan) kayu bakar.
"Allah merupakan pencipta kita dan dia lebih mengetahui apa yang  terbaik  untuk makhluk-makhluk-Nya. Oleh itu, redholah dengan semua yang  telah  Allah takdirkan untuk kita. Tidak perlu untuk kita hasad dengki  dengan  orang lain. Dan sudah pasti besar ganjarannya di sisi Allah  andainya  kita redho dengan segala ketentuan dan ketetapan tuhan yang  Maha Esa  insyaAllah...

No comments:

Post a Comment