Saturday, 28 May 2011

Story Fasal Jodoh

Ada satu perkara yang suka aku kongsikan bersama rakan-rakan. Tentu  saja  tentang cinta.. cinta yang perlu ada pada perkiraanku selepas aku   mencintai Allah dan Rasul-Nya.
Kasih yang aku kira perlu aku lempiaskan  pada seseorang yang lain selepas ibubapa dan keluarga serta diriku  sendiri...
Ya.. cinta pada manusia biasa yang namanya lelaki kerana aku  diciptakan sebagai seorang perempuan...
Umur yang semakin berinjak jauh meninggalkan alam remaja dan sekarang  di  dalam fasa kedewasaan memungkinkan aku berfikir tentang urusan  jodoh.  Seringkali persoalan itu ditanya kepadaku oleh teman-teman  sekuliah  dahulu.
 "Tak ada buah hati ke?"
 "Takkanlah tak ada yang minat dengan  perempuan pandai macam kau ni?"
"Kau ni jual mahal sangat kot?"
 "Bergayalah sikit, bagi cantik, mesti nanti ada yang terpikat kat kau.."
"Aku sudah, kau bila lagi?"
Aduh... mahu melayan satu-persatu pertanyaan mereka memang tidak terjawab. Paling mudah untuk kukatakan ketika itu,
"Belum jodoh lagi.."
atau aku katakan pada mereka,
"Belum bersedia lagi.. .nanti dah ada calon, akan diberitahu kelak".

Titik.
Berbicara tentang cinta memang tidak akan pernah habis. Semasa di   universiti dahulu seringkali aku melihat pasangan yang kononnya sedang   'hangat bercinta' bertengkar atas perkara-perkara yang kecil.
Kadang-kadang aku ketawa sendirian apabila melihat adegan  pujuk-memujuk  persis lakonan di dalam filem Hindustan yang kutonton di  televisyen.  Bermacam-macam gaya yang ada apabila si lelaki cuba memujuk  si wanita  atau si wanita yang cuba memujuk si lelaki. Aku  menggeleng-geleng kepala  melihat gelagat mereka dalam tawa. Perkara  yang padaku tidak wajar  dilakukan apatah lagi pasangan itu masih belum  punyai ikatan yang sah  dan halal di sisi Islam sedangkan si wanita  bertudung dan si lelaki  bersongkok.
Aku pernah dilamar seorang lelaki pada perkiraanku dapat melengkapi   kekurangan yang ada pada diriku. Tentu sahaja aku mencari seorang lelaki   yang mudah tersenyum, tegas dalam kelembutan, lucu dan bisa membuatku   gembira, dan yang paling penting dia seorang yang sangat menjaga   solatnya dan ibadahnya. Cukup padaku itu dan aku telah bertemu   dengannya. Tapi, seperti yang kukatakan sebelum ini, cerita ini tentang  jodoh...

Arakian, aku dilamar aku menolak dengan lembut atas alasan kerana  mahu  menumpukan perhatian kepada pelajaran dan kuliah. Ini amanah yang   kupegang sejak mula aku menjejakkan kaki ke menara gading. Aku tidak   suka berpacaran kerana pada aku ianya tidak wajar.
Kukatakan pada lelaki  itu, sekiranya benar dia menginginkan aku  menjadi suri hatinya maka  tunggulah sehingga aku dan dia selesai  bergraduasi. Kukatakan juga  bahawa aku tidak suka keluar berdua-duaan.  Sekiranya seorang lelaki itu  benar mahu memiliki hatiku maka dia perlu  memahami bahawa dia perlu  lebih serius untuk mengatur masa depannya  berbanding berpeleseran tanpa  hala tujuan yang jelas.

Hubungan yang dijalin tanpa ada matlamat yang  jelas bukanlah satu  perhubungan yang bersungguh-sungguh tetapi hubungan  yang  terang-terangan berlandaskan nafsu semata-mata.
Sekali lagi kukatakan di sini, ianya soal jodoh.  Allah punya  perancangan yang lebih menarik untukku, terserah padaku  sahaja sama ada  mahu mencari hikmah yang tersembunyi atau membiarkan  diriku sendiri  tertanya-tanya mengapa kesudahannya begini dan  begitu...
Lelaki itu tidak sanggup menunggu lantas mengambil keputusan  mencari yang lain...
Aku sedikit kecewa namun kubisikkan pada hati agar redha dengan   ketentuan Ilahi. Dalam melayari kehidupan dan mehnah, aku belajar   pelbagai perkara. Setiap hari aku belajar dan adakalanya mengajarkan   sesuatu kepada yang lain. Benar, usia yang semakin bertambah   membuatkanku berasa gusar kerana masih tidak dipertemukan jodoh.Hidupku banyak dihabiskan dengan bekerja sebaik sahaja menamatkan   pelajaran di universiti. Rakan-rakan lain ramai yang berlumba-lumba   mendirikan rumahtangga dan aku masih lagi sendiri. Agak sunyi tapi   kutabahkan hati supaya aku tidak menjadi seorang yang terlalu menurut   nafsunya.

Tiba saat rezekiku dilebihkan Allah di mana aku diterima bekerja   sebagai salah seorang pegawai psikologi. Tidak perlu aku ceritakan   dengan tepat di mana aku ditempatkan. Sejak pertama kali aku menjejakkan   kaki di sini, tidak pernah terlintas di fikiranku untuk mencari   pasangan hidup. Niatku hanya mahu bekerja kerana Allah, mencari rezeki   untuk keluargaku agar kami dapat hidup dengan lebih selesa.
Sukacita  sekali lagi aku maklumkan, bahawa ini semua urusan jodoh.  Jodoh  yang tertulis kemas di luh mahfuz, Salah satu rahsia agung yang   tersembunyi dari pengetahuan hamba-Nya selain urusan umur, rezeki dan   maut.


Salah seorang daripada orang bawahanku yang usianya lima tahun lebih  tua  dariku dan tentunya seorang lelaki benar-benar membuatkan jiwaku   bergetar. Entah kenapa, tapi aku takut ianya melalaikan dan bisa   menghumban diriku ke lembah kehinaan. Takut untuk terjerumus di dalam   zina hati.

Lelaki itu kerapkali mengujiku dengan pelbagai pertanyaan.   Tingkahnya yang kadang-kadang membuatku tertanya-tanya kenapa dia perlu   bersikap sedemikian denganku dan tidak dengan perempuan-perempuan yang   lain di pejabat. Aku positifkan fikiran, mungkin juga kerana aku adalah   orang atasannya dan wajar saja dia menghormatiku lebih daripada yang   lain. Mungkin.

Satu hari, dengan izin Allah jua ianya terjadi, ketika sedang enak  menjamu  selera bersama rakan-rakan sepejabat pada waktu malam, satu  rahsia  tersingkap. Salah seorang rakan pejabatku bertanyakan sama ada  aku sudah  punya kekasih hati atau belum. Satu soalan yang kukira agak  lucu untuk  ditanya. Aku senyum dan menggeleng.
Dia kemudian berkata, ada seseorang  yang dekat denganku ingin  menjalinkan hubungan yang lebih rapat dan  serius. Aku dapat mengagak  tapi aku meminta kepastian darinya. Nah!  Jelas bahawa lelaki di pejabat  yang sama yang kuceritakan sebentar tadi.  Tepat telahanku kali ini.  Firasatku jarang tersasar apatah lagi jika  aku mohon agar Allah  membimbingku agar aku tidak menjadi orang yang  berprasangka yang tidak  baik kepada orang lain.
Hatiku menguntum senyum. Tentu saja rasa suka apabila diri disukai  oleh  orang lain yang bergelar lelaki. Aku senang sahaja bekerja  dengannya.  Selalu di dalam doaku di mana aku memohon agar aku  dijodohkan dengan  seseorang yang baik akhlak dan agamanya, bersederhana  dalam segala  urusan, dan bonus bagiku sekiranya lelaki itu seorang  yang sedap mata  memandang...
Lelaki itu juga hingga sekarang masih mengujiku dengan pelbagai   pertanyaan. Aku cuma menjawab pertanyaannya sekadar yang kumampu dan   hingga saat ini tidak pula dia menyatakan sendiri kepadaku bahawa dia   punya 'perasaan' padaku. Aku juga begitu, walaupun setiap kali bertemu   jiwaku rasa tenang dan gembira.

Namun cepat-cepat aku sedarkan diri,  khuatir kerana dia bukan  siapa-siapa denganku malah bukan mahramku yang  layak untuk aku fikirkan  tentangnya. Aku cuba tidak memandang tepat ke  matanya kerana fitrah  kewanitaan dan keperempuanan yang malu dan masih  menebal dalam diri  menjadi perisai iman yang aku takut makin terhakis.

Cuma satu yang ingin kupesan pada rakan-rakan di luar sana yang masih  belum punya 'pacar'.
Usah gusar dan khuatir.
Kamu tidak perlu  merendahkan martabat diri demi untuk meraih cinta  seorang lelaki.  Ketahuilah, manisnya dan cantiknya seorang perempuan  itu terletak pada  taqwanya, hatinya yang sentiasa tunduk malu pada  perkara-perkara yang  tidak patut.
Aku tidak menyatakan yang aku ini tidak pernah berbuat dosa  tapi aku  berusaha untuk memperbaiki diri dan cuba mengelakkan diriku  daripada  tergelincir ke arah itu.
Ingat, jika ada lelaki yang menyatakan  dia menyukai kamu, tanyakan  kembali apa yang dia mahukan daripadamu.  Jika dia sekadar ingin  bersuka-suka dan punya pacar persis seperti  teman-teman yang lain maka  jauhkanlah dirimu daripadanya.
Sekiranya dia  benar-benar serius, mahu mengikat tali perkahwinan,  punya kedudukan  kewangan yang kukuh dan latar belakang keluarga yang  menyamankan dan  mendamaikan dirimu maka pertimbangkanlah permintaannya  untuk menjadikan  dirimu itu sebagai suri hidupnya.
Sekadar bercerita tentang jodoh. Sungguh betul,  ianya urusan rahsia  antara yang tersulit sekali di dalam keterbatasan  pengetahuan manusia  melainkan dengan izin-Nya.
Harus diingatkan,  walaupun ianya urusan Allah, namun kita tidak pula  diperintahkan untuk  sekadar menanti dan berpeluk tubuh. Proaktif itu  perlu. Carilah jodoh  dengan cara yang diizinkan dan diredhai Islam  atasnya kerana dengan itu  moga hubungan kalian nanti juga akan direhai  Allah, Insya-Allah.
Sekadar perkongsian rasa dengan rakan-rakanku tentang urusan jodohku   yang masih lagi samar. Moga sahaja Allah membantu di dalam urusan yang   berkaitan dengannya dan menjauhkan aku daripada melakukan kemaksiatan   hati mahupun tingkah perbuatan secara sir (rahsia) mahupun secara jahr   (terang-terangan).
Jika benar lelaki itu jodoh  yang dikirim Allah untukku meraih cinta yang lebih besar yakni cinta  Ilahi maka aku redha.
Aku tidak mahu mengatakan bahawa aku ikhlas  menerimanya kerana  perkara ikhlas itu milik Allah yang tiada manusia  berhak menyatakan  bahawa dia ikhlas. Biar Allah sendiri yang  menghukumkan tentang itu.
Buat rakan-rakanku yang mungkin sedang mencari  jodoh atau telah  bertemu jodoh, aku doakan agar kalian memperoleh jodoh  sepertimana yang  diinginkan olehmu.
Ketahuilah bahawa Allah memberikan  apa yang kita perlu dan bukan  yang kita suka kerana mungkin saja sesuatu  yang kita suka itu akan  menjadi satu keburukan suatu hari nanti.
Pasangan kita moga terdiri daripada si dia yang 'melengkapkan'   kekurangan yang ada pada diri masing-masing agar kita lebih mudah   berjuang meraih cinta-Nya....Menantikan kalimah cinta daripada insan yang dicinta... moga kami meraih cinta-Nya, amin.
^_^

No comments:

Post a Comment